Thursday 4 August 2011

Ekonomi Cara Opah

Opah telah berusaha dengan gigih untuk mengumpul wang untuk perbelanjaan sekolah anak anak nya. Setiap sen yang akan dibelanjakan hanya yang benar benar penting sahaja. Jadi masa bersekolah Pakcik, Paklop, Maksu yang sama sama bersekolah di Sekolah Melayu Talang memang tak ada biberi duit belanja. 

Makan nasi tenhah hari dan malampun selalu berlaukkan telor itek goreng dengan sambal belacan. Kadang-kadang dapatlah berlaukkan ikan darat  yang ditangkap dari kolam dalam bendang dibelakang rumah, di Kampung Talang tu. Kalau masak kari atau lemak Opah buat kuah yang banyak hingga penuh periuk supaya semua orang boleh makan hingga makan malam. Kadang kadang bila tak ada kuah kami makan nasi berkuahkan minyak masak yang telah digunakan untuk menggoreng ikan. Memang sangat sedap nasi yang masih panas dicampur minyak masak dan campur sedikit garam serta digaul bersama sambal belacan. Lauknya hanya telor goreng atau ikan keli goreng atau ikan puyu goreng atau ikan haruan goreng, memang sedap satu pinggan tak cukup.

Lagi best kalau makan dibawah pokok jambu atau putat atau dipangkal pokok kelapa dibelakang rumah ditepi bendang. Tapi jangan dekat sangat dengan kandang kambing dan reban ayam yng juga berada dibelakang rumah, bau nya....boleh mematikan selera makan.

Opah hanya bagi anak anak dan Atok sahaja memakan nasi dengan lauk, bagi dirinya hanya nasi dengan ikan masin sahaja. Memang kesian tengak Opah makan nasi dengan ikan masin sahaja. Memang sedeh tengak Opah makan nasi dengan ikan masin sahaja tapi itu cara Opah nah berjimat supaya anak anak nya dapat pergi kesekolah.

Opah juga berjimat dalam berpakaian. Dirumah Opah hanya berkemban tanpa baju. Kalau ada orang datang kerumah baru Opah pakai baju, takut malu. Baju sekolah kami anak anaknya pun satu pasang sahaja saorang. Terpaksalah kami berhati hati apabila bermain main disekolah supaya tidak cepat kotor dan boleh pakai kesekolah tiap tiap hari hingga hujung minggu baru dibasuh.

Baju untuk berjalan pun anak anak Opah tak ada. Bila kami sekeluarga pergi melawat Makwe di Kuala Lumpur dulupun Pakcik terpaksa pakai baju sekolah. Baju lain dah lama dan tak elok, hanya baju sekolah sahaja yang baru dan elok. Baju Raya untuk kami anak lelaki Opah buat baju melayu dengan kain tanpa seluar jadi tak boleh pakai untuk berjalan pada bukan Hari Raya..

Opah suka merokok tapi opah terpaksa berjimat. Dengan itu tiap tiap puntung rokok yang Opah hisap Opah kumpul dan simpan. Bila dah banyak Opah buka dan kumpulkan tembakaunya dan buat rokok baru. Rokok Opah gulong sendiri macam rokok daun tapi lainnya ia tak pakai daun, ia pakai kertas rokok yang dibeli khas.

Memang kami anak anak Opah berasa insaf sangat sangat bila mengenangkan pengorbanan yang telah Opah lakukan untuk membesarkan kami dan jadikan kami orang berguna dan tidak  menyusahkan orang lain, Sama samalah kita berdoa semoga Roh Opah Dan Atok sentiasa dicucuri Rahmat dan ditempatakan kedalam Syurga Firdaus untuk selama lamanya...Ameen.

No comments:

Post a Comment