Thursday, 2 June 2011

Opah - Ahli Ekonomi Kampong

Hidup di kampong memang tak susah nak makan kerana ada padi, ikan dalam bendang, sayur pucok ubi, kangkong, paku dan lain-lain ada. Yang susah adalah nak cari duit tunai untuk membeli buku, kasut dan uniform sekolah serta yuran sekolah.

Untuk itu opah telah kerah anak-anaknya pelihara kambing, ayam dan itek. Semua anak anak kambing yang cukup besar akan dijual pada hujung tahun dan duitnya akan digunakan hanya untuk persediaan persekolahan tahun berikutnya sahaja. Beberapa ibu kambing bersama saekor bapa kambing yang sehat disimpan untuk terus pengeluaran anak-anak kambing pada tahun tahun berikutnya.

Penjagaan anak-anak kambing ini bukannya mudah sebab opah tak mahu kambing ini merayap kekebun orang dan makan tanaman yang ditanam oleh orang kaampong. Dengan itu semua kambing ini perlu diikat kebatang pokok atau tiang yang dicacak ketanah yang lapang dan berumput dengan tali yang panjang supaya ia hanya makan disekeliling pokok atau tiang tadi tampa dapat melepaskan diri untuk merayau ketempat lain.Bagi memastikan kambing ini dapat makan secukupnya ianya perlu diubah ke tempat lain yang berumput beberapa kali dalam sehari.

Malangnya kadang-kadang ada budak budak nakal pergi membuka tali dari batang pokok atau tiang tersebut dan kambing itupun merayaulah ikut suka hatinya. Oleh kerana tali itu panjang senanglah ianya tersangkut didalam semak atau pada pagar kebun orang kampong. Jadi tak dapatlah ia berjalan balik kekandangnya dibelakang rumah. Biasanya kalau kambing ini tidak tersangkut dimana-mana ia akan balik dengan sendirinya bila hari hampir nak gelap. Sekira ada yang tidak balik kami terpaksa cari sampai dapat, kalau tak dapat juga kami kena tidur di kandang kambing. Opah pastikan kambing ini mesti dicari juga tak kira macamanapun.

Bagi memastikan kambing kambing ini dijaga dengan betul opah telah membahagikan kambing kambing ini dibawah tanggungjawab tiap tiap empat orang anaknya ia itu pakteh Rani, pakcik Nazri, maksu Nor dan paklop Mat. Kambing yang dibawah tanggung jawab masing masing itu perlu dijaga dengan sebaiknya supaya cepat gemok dan tidak hilang atau mati dan boleh dijual pada hujong tahun. Kalau tidak tak adalah buku baru,baju baru dan kasut baru untuk memulakan persekolahan ditahun baru.

Banyak pengalaman yang telah diperolehi semasa mecari kambing yang tidak balik kerana tersangkut didalam semak. Dalam malam yang gelap kadang kadang hujan renyai-renyai dengan menggunalan lampu pelita minyak tanah yang dihadang dengan upeh dari tiupan angin supaya tidak padam kami bertiga merentasi bendang, semak, hutan, rumah kosong, tak kira ada binatang liar saperti ular atau harimau kami terus berjalan mencarai kambing yang hilang itu sampai berjumpa. Selagi tak jumpa tak boleh balik, itu tekad kami tiga beradek (pakteh, pakcik da paklop) Perasaan takut...memang ada, tapi tak boleh dilayan. Kalau balik tanpa berjumpa kambing yang hilang itu takut opah pula yang naik angin dan nanti kena marah. Nasib baik dikawasan kampong itu tak ada tanah perkuburan, kalau tidak tak tahulah macamana...!

 

No comments:

Post a Comment